Di negara ini, kreatif dan mengarut dikategorikan
dalam dua sisi sama. Adalah menjadi satu perkara yang tabu bagi rakyat kebanyakan
untuk mengangkat karya kreatif dan inovatif sebagai suatu hasil berpotensi
hebat.
Sebagai contoh, filem dan komik. Dua cabang seni kreatif yang paling
dekat dengan jiwa aku.
Pernah wujud satu zaman pada dahulu kala yang mana perkataan kreatif
itu sendiri belum menjadi kegunaan ramai dan popular. Waktu itu ramai sungguh kemunculan orang-orang kreatif. Ini lazim berlaku disebabkan tiga perkara:
- Negara kita belum didedahkan kepada modenisasi justeru pelbagai buah fikiran dan ciptaan baharu terhasil. Ada yang kreatif. Ada terlampau kreatif. Ada juga yang amat-amat kreatif sehingga melampaui zamannya.
- Kita tidak dimomok oleh perkara yang bukan-bukan daripada penjajah. Tipu daya serta kepalsuan dapat dibezakan dengan mudah. Kerana hidup pada masa itu sangat 'simple' dan mereka percaya pada konsep kejujuran dan keikhlasan.
- Masyarakat begitu hormat dan saling menghormati di antara satu sama yang lain. Syak wasangka dan unsur bidaah cukup minimal. Kalau ada sifat dengki dan iri hati pun adalah pada kejayaan mengeluarkan idea kreatif seseorang kepada seseorang yang lain. Kemudian orang yang tercabar itu akan cuba 'improv' dan berlumba-lumba dan bersaingan dengan positif dan proaktif.
Orang kita kreatif dengan motivasi dan rangsangan yang diperlukan. Tidak
ada yang mengarut pada pandangan masyarakat selain daripada pembaharuan yang memerlukan
masa untuk dihadam dan difahami. Dengan kekurangan, mereka mencari kesenangan dan kemajuan dalam ikhtiar berterusan. Dari ikhtiar tadi, mereka terjumpa serta berjumpa idea dan ilham-ilham kurniaan
Tuhan. Tempat tinggal, makanan, pakaian, hiburan dan macam-macam lagi inovasi terbit
dari minda-minda yang rajin mencari sesuatu yang ‘revolutionary’ dan kadangkala
‘breakthrough’.
Pada zaman pemerintahan Empayar
Melayu Melaka umpamanya, orang-orang luar yang datang dan berdagang di semenanjung ini
kagum dengan sistem kerajaan, sosioekonomi dan struktur ketamadunan orang-orang kreatif Melaka yang terdiri daripada golongan bangsawan, sarjana, ilmuwan
agama, pahlawan dan pendekar, aristokrat serta sebagainya. Ternyata banyak
yang boleh dicapai sekiranya idea dapat dicerna dan digerakkan dengan
sistematis. Masa itu bangsa dari tanah Arab, Parsi, Yahudi, Eropah, Ryukyu
(Jepun) dan ramai lagi hidup rukun mencari rezeki di bawah hukum hudud dan
kanun negeri. Kemudian, datang pula zaman keagungan perfileman Melayu di Jalan
Ampas, Singapura. Banyak filem-filem bermutu yang masing-masing dalam kelasnya
tersendiri telah dihasilkan dengan kerjasama niagawan dan usahawan dari India
dan China. Malah ada juga yang datang sejauh tanah Hollywood. Pengikhtirafan dan
kemasyhuran dinobatkan kepada seantero benua tentang betapa hebatnya
orang-orang kita bikin filem. Karya anak-anak wayang dan seniman sinematik boleh dilabel sebagai 'world class'.
Masa berganti masa. Zaman bersilih ganti. Kita dijajah berulang kali. Maka terperosoklah kita pada sekatan dan ketakutan untuk mempamerkan dan membuktikan kreativiti diri yang kita sebenarnya berupaya berjaya tanpa kedatangan kolonialis dan mandur perang yang tidak diundang.
Masa berganti masa. Zaman bersilih ganti. Kita dijajah berulang kali. Maka terperosoklah kita pada sekatan dan ketakutan untuk mempamerkan dan membuktikan kreativiti diri yang kita sebenarnya berupaya berjaya tanpa kedatangan kolonialis dan mandur perang yang tidak diundang.
Kini, orang-orang kreatif kita itu masih wujud dan ada. Mereka tidak
hilang dan tidak pun pupus. Cuma apabila mereka berkarya atau mencipta reka
sesuatu yang baharu, ramai yang tidak faham. Ramai yang cemuh. Ramai yang pandang tak pandang.
Lantas, kita ini langsung dituduh mengarut.
Ada ke patut?
Ada ke patut?