Suatu semangat rangkaian kata-kata dari jiwa dan luhur naratif kehidupan

2.9.13

Sedia dengan semangat baru.

Berdasarkan rekod dan hitung semasa, sekarang ini jumlah rasmi kawan-kawan (friend) aku di Facebook telah melebihi 2,000 orang. Jujurnya aku sendiri tidak pasti sama ada jumlah itu adalah jumlah yang serius dan benar berbanding dengan kawan-kawan aku yang wujud secara 'offline'. Bukanlah sesuatu yang membanggakan jika hendak dibanding dengan kawan-kawan lain yang sudah pun mempunyai 3,000, 5,000, 10,000 malah 100,000 atau lebih (ini serius kerana ada di antara mereka yang memiliki fanbase dan follower yang begitu mengagumkan!)

Semua kawan-kawan (friend atau mutual friend) yang aku maksudkan itu tadi mempunyai latar belakang yang berbeza, baik dari segi profesion dan pencapaian serta juga peribadi. Namun begitu, mereka mempunyai satu persamaan ciri yang tidak dapat dinafikan lagi: Mereka adalah pengkarya yang menulis, melukis, mempersembah dan punya sebab serta motif kukuh  untuk dibuktikan kepada dunia. Bahawasanya hasil pendapat dan perkongsian pengalaman dari minda dan jiwa mereka perlu dilihat oleh orang-orang yang mahu membaca, menilai, mengulas, mengkritik dan menghargai. Sama ada secara sedar atau tidak, sifat manusia rata-ratanya memang begitu. Fitrah yang ada dari dalam atau dipengaruh dari luar. Ada yang menulis untuk meluah, ada yang melukis untuk mengekspresi. Titik pertemuannya jelas tetap sama. Manusia memerlukan manusia lain untuk memajukan diri (sengaja) atau menghancurkan diri (tidak sengaja) berpandukan kepada niat dan falsafah hidup masing-masing di dunia ini, biarpun berbeza atau sesama agama, bangsa dan negara.

Facebook menyediakan satu pentas yang cukup selesa untuk tujuan-tujuan ini. Lebih senang untuk bercakap tanpa berhadapan, lebih mudah untuk berkomunikasi tanpa berinteraksi. Itu hanya landas asasnya sahaja.

Sebagai contohnya, aku puas hati dan sangat suka akan sesuatu yang cuba disampaikan oleh kawan-kawan aku itu. Aku puji. Aku beri kata-kata perangsang. Aku ucapkan lafaz kata syabas dan tahniah. Ada pada masa-masa tertentu, aku juga tidak berkenan dan membangkang usaha yang kawan-kawan aku lakukan. Aku kritik. Aku bidas. Aku sanggah dengan bukti dan rasional sebagai langkah yang wajar dilakukan untuk seorang dalam mod memprotes. Untuk yang bukan kawan (tidak juga musuh atau bermusuhan) dan dalam bentuk yang neutral, aku melakukan perkara yang sama.

Kiranya aku minat atau benci sesebuah karya itu, kiranya aku sokong atau anti sesebuah naskah itu, kiranya aku angkat atau benamkan sesebuah hasil itu; aku tetap akan berlaku jujur dengan landas waras. Aku sebagai seorang yang ada prinsip dan falsafah dalam bidang yang sedang aku kerjakan, akan tetap bersikap profesional (walaupun kekadang terlampias kesan emosional). Sudah bertahun aku berkelana dan berjalan jauh mencari pengalaman dan ilmu. Aku meniti langkah perlahan-lahan untuk sampai ke suatu tahap yang membolehkan aku mengecap jata dan lencana yang aku perlu. Supaya suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai tatkala aku bercakap, orang akan dengar dan amati. Mana yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Kerana dari situlah nanti, di antara yang 2,000 itu akan menilai seperti mana aku menilai. Semua dengan cara dan fahaman yang tersendiri.

Jadi, untuk julung kalinya kesedaran ini hadir sendiri. Aku perlu rakamkan leluhur ini dalam penulisan. Kemuliaan dan keagungan kurnia yang diberikan datang dan pergi. Aku seorang penulis dan aku perlu menulis dengan terhormat kerana bakat itu adalah amanat. Ia datang pada kita semua dengan harga dan nilai-nilai masing. Naik susutnya harga dan nilai itu, bergantung ia pada diri sendiri.

Mulai hari ini, aku mahu menulis kembali  dengan semangat baru. Semoga usaha karya aku ini mendapat manfaat dan pedoman bersama. InsyaAllah.


Terimalah kelahiran 'The Idealistik'.


No comments:

Post a Comment