THE IDEALISTIK

Suatu semangat rangkaian kata-kata dari jiwa dan luhur naratif kehidupan

5.9.13

Ke mana hilangnya daya orang macam kau?

Di negara ini, kreatif dan mengarut dikategorikan dalam dua sisi sama. Adalah menjadi satu perkara yang tabu bagi rakyat kebanyakan untuk mengangkat karya kreatif dan inovatif sebagai suatu hasil berpotensi hebat.

Sebagai contoh, filem dan komik. Dua cabang seni kreatif yang paling dekat dengan jiwa aku.

Pernah wujud satu zaman pada dahulu kala yang mana perkataan kreatif itu sendiri belum menjadi kegunaan ramai dan popular. Waktu itu ramai sungguh kemunculan orang-orang kreatif. Ini lazim berlaku disebabkan tiga perkara:
  1. Negara kita belum didedahkan kepada modenisasi justeru pelbagai buah fikiran dan ciptaan baharu terhasil. Ada yang kreatif. Ada terlampau kreatif. Ada juga yang amat-amat kreatif sehingga melampaui zamannya.
  2. Kita tidak dimomok oleh perkara yang bukan-bukan daripada penjajah. Tipu daya serta kepalsuan dapat dibezakan dengan mudah. Kerana hidup pada masa itu sangat 'simple' dan mereka percaya pada konsep kejujuran dan keikhlasan.
  3. Masyarakat begitu hormat dan saling menghormati di antara satu sama yang lain. Syak wasangka dan unsur bidaah cukup minimal. Kalau ada sifat dengki dan iri hati pun adalah pada kejayaan mengeluarkan idea kreatif seseorang kepada seseorang yang lain. Kemudian orang yang tercabar itu akan cuba 'improv' dan berlumba-lumba dan bersaingan dengan positif dan proaktif.
Orang kita kreatif dengan motivasi dan rangsangan yang diperlukan. Tidak ada yang mengarut pada pandangan masyarakat selain daripada pembaharuan yang memerlukan masa untuk dihadam dan difahami. Dengan kekurangan, mereka mencari kesenangan dan kemajuan dalam ikhtiar berterusan. Dari ikhtiar tadi, mereka terjumpa serta berjumpa idea dan ilham-ilham kurniaan Tuhan. Tempat tinggal, makanan, pakaian, hiburan dan macam-macam lagi inovasi terbit dari minda-minda yang rajin mencari sesuatu yang ‘revolutionary’ dan kadangkala ‘breakthrough’.

Pada zaman pemerintahan Empayar Melayu Melaka umpamanya, orang-orang luar yang datang dan berdagang di semenanjung ini kagum dengan sistem kerajaan, sosioekonomi dan struktur ketamadunan orang-orang kreatif Melaka yang terdiri daripada golongan bangsawan, sarjana, ilmuwan agama, pahlawan dan pendekar, aristokrat serta sebagainya. Ternyata banyak yang boleh dicapai sekiranya idea dapat dicerna dan digerakkan dengan sistematis. Masa itu bangsa dari tanah Arab, Parsi, Yahudi, Eropah, Ryukyu (Jepun) dan ramai lagi hidup rukun mencari rezeki di bawah hukum hudud dan kanun negeri. Kemudian, datang pula zaman keagungan perfileman Melayu di Jalan Ampas, Singapura. Banyak filem-filem bermutu yang masing-masing dalam kelasnya tersendiri telah dihasilkan dengan kerjasama niagawan dan usahawan dari India dan China. Malah ada juga yang datang sejauh tanah Hollywood. Pengikhtirafan dan kemasyhuran dinobatkan kepada seantero benua tentang betapa hebatnya orang-orang kita bikin filem. Karya anak-anak wayang dan seniman sinematik boleh dilabel sebagai 'world class'.

Masa berganti masa. Zaman bersilih ganti. Kita dijajah berulang kali. Maka terperosoklah kita pada sekatan dan ketakutan untuk mempamerkan dan membuktikan kreativiti diri yang kita sebenarnya berupaya berjaya tanpa kedatangan kolonialis dan mandur perang yang tidak diundang. 

Kini, orang-orang kreatif kita itu masih wujud dan ada. Mereka tidak hilang dan tidak pun pupus. Cuma apabila mereka berkarya atau mencipta reka sesuatu yang baharu, ramai yang tidak faham. Ramai yang cemuh. Ramai yang pandang tak pandang.

Lantas, kita ini langsung dituduh mengarut.

Ada ke patut?

4.9.13

Manusia hidup berperasaan.

Seni, sentimen dan sensitif.

Tiga perkara naluri dan perasaan manusia yang bersaling serta berkait rapat sesama sendiri. Tidak kira pada usia berapakah kita, dari pelajar sekolah dan universiti, dari pekerja biasa sehinggalah ke orang-orang yang berpangkat dan  berkedudukan tinggi dalam kelompok masyarat, sama ada yang tergolong dari lingkungan kawan-kawan dan saudara-mara sekeluarga; semua pasti akan berasa getaran jiwa yang sedemikian.

Hidup kita semua berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain. Tidak dapat tidak, dalam satu hari setidak-tidaknya kita akan bercakap dengan seseorang atau setidak-tidaknya kita akan berhubungan dengan seseorang itu menggunakan telefon ataupun peranti internet. Sejak kecil kita diajar untuk bercakap dan bertutur dengan betul. Biarpun perlahan, akhirnya kita mahir berbicara dengan orang lain di sekeliling kita. Kita berbual dan bersembang hari-hari. Kita berbincang dan berdebat. Kita bergaduh dan berselisih faham kerana perbezaan pendapat dan persefahaman. Kita berdamai dan berbaik semula juga dengah kaedah komunikasi lisan. Ada juga yang berinteraksi menggunakan perantara. Antara contoh perantara itu adalah dengan tulisan, lukisan, filem, lagu, buku, cerita dan macam-macam lagi kaedah yang dicipta manusia.

Dan sudah seringkali pula kita berhadapan situasi yang mana etika berkomunikasi dan berinteraksi dalam undang-undang perhubungan sesama manusia dicabar dan dicuba sekali-sekala. Orang dengan seni bual bicara dan kehalusan penyampaian mesej atau idea mungkin menjadi penyebab kepada rasa yang beribu. Ini menjalar menjadi sentimen. Kerana wujudnya sentimen adalah sisi manusia yang lazim dan wajib. Manusia bersentimen kerana mereka ada hak untuk ditegakkan, ada ego untuk ditunjukkan dan ada tanggungjawab untuk dilaksankan. Ibu dan ayah yang gembira dengan kejayaan anaknya berjaya di menara gading, harapan cinta terhadap kekasih kepada kekasih yang kesampaian, usaha dan kerja keras yang bertemu hasil dan kesetimpalan ikhtiar dan macam-macam lagi adalah sentimen-sentimen keperluan. Namun akhirnya nanti, sensitiviti akan muncul.

Manusia yang berseni, ada sentimen untuk terus menjadi sensitif.

Banyak case study yang membuktikan kenyataan aku itu. Jelas manusia tergolong dalam golongan yang diberikan akal dan perasaan untuk diseimbangkan dengan sebaiknya. Orang yang berilmu dan berpengalaman akan berseni dengan sentimen dan sensitivi pada perkara-perkara yang wajar. Orang yang dangkal hatinya dan lemah pendirian serta nipis halwa prinsipalnya, akan terjerumus dalam perangkap seni ciptaan sendiri. Maka sentimen dan sentimentalisme sukar dikawal dengan baik, justeru sensitiviti juga membuak-buak tidak tentu halanya.

Aku menjadi saksi kepada tingkah laku ini setiap hari tanpa gagal (termasuk aku).

Ia memberikan banyak pengajaran, pengalaman, pencerahan, kesedaran dan keadilan dalam meniti arus kehidupan. Hanya yang kuat dan kental akan kehadapan. Hanya yang berani dan berpegangan mampu maju dan terus maju. Ikhlas aku isytiharkan, seni itu indah pada yang bijak pada sentimen perasaan dan sensitif jiwa dan akalnya.
 

3.9.13

Buktikan yang idea kita bagus.

Setiap posting yang terdapat di internet, tidak kiralah sama ada posting itu dipaparkan dan dikongsikan melalui Facebook, Twitter, Instagram, Blog, YouTube dan lain-lain lagi aplikasi atau peranti digital dan saluran multimedia online; sebenarnya akan mewujudkan aksi dan reaksi menarik secara sedar atau pun tidak sedar di kalangan kita.

Lazimnya, kesan kepada posting tersebut akan menjadi viral dengan mudah apabila komentar, pendapat, kritikan dan ulasan yang diberikan kena atau terkena pada sasarannya. Sama ada posting itu berkenaan perkembangan semasa dan isu ‘panas’ seperti hal kenaikan harga minyak secara mengejut, kebejatan sebuah filem yang tidak peka dan sensitif pada masyarakat, keputusan perlawanan bolasepak yang menyebelahi atau tidak menyebelahi pasukan sokongan dan sebagainya; kita akan rasa tergerak dan terlibat sama di waktu kita membacanya, mentafsirnya, menganalisanya dan akhirnya mengeluarkan doktrin serta luahan sendiri yang memberi kesinambunga kepada perkara yang dituruti.

Dari sebaris kemaskini status di Facebook yang bijaksana dan genius sehinggalah rangkap komen yang tahap sejahil-jahil benak manusia.

Ini adalah kesan kemanusiaan yang fitrahnya mahu membuktikan sesuatu. Masing-masing punya pendapat, masing-masing ada pegangan dan masing-masing mahu menegakkan hak masing-masing. Andai ada yang beralih pendapat dan membantah orang lain kerana berbeza pandangan dengan mereka, maka konflik pasti akan berlaku. Hujah dibentang. Suara melantang. Ada juga yang memilih untuk berdiam diri dan ‘duduk di atas pagar’. Mungkin kerana tidak bersedia untuk mengeluarkan buah fikiran kerana belum cukup bukti atau mungkin kerana mengambil sikap memerhati, ‘tunggu dan lihat’. Ada pula yang langsung tidak mahu masuk campur kerana bagi mereka-mereka ini, tidak ada faedahnya bertelagah sesama sendiri. Apatah lagi kalau orang yang bersengketa itu adalah sesama bangsa dan sesama agama. Dosa dan pahala menjengah pada yang bijak memilih.

Aku secara peribadi sebagai seorang penulis, melihat situasi ini sebagai satu anekdot yang penting dalam pembentukan hasil karya yang baik. Ia kerana realiti itu sebenarnya memang ‘stranger than fiction’, dan kerap kali juga ‘even crazier and remarkably mad about each other’. Manusia boleh dan akan sanggup lakukan apa saja asalkan point mereka sampai. Untuk yang tidak ada point, itu cerita lain. Emosi dan waras akal harus sepadu bagi mereka yang tahu erti kebenaran. Bagi mereka yang tidak tahu punca dan usul, pasti terus-terusan terperangkap dalam loop hole yang sama.

Yang pastinya, manusia dijadikan berbeza-beza oleh Tuhan bersebab. Mereka sepakat bersebab. Mereka bertelagah bersebab. Mereka berniat baik atau jahat bersebab. Harus diakui, aku juga manusia yang tergolong dalam golongan-golongan ini.

Dahulu sebelum wujud internet (zaman kita semua tidak ada Facebook, Twitter, Instagram, Blog, YouTube dan lain-lain lagi aplikasi atau peranti digital dan saluran multimedia online), tidak ada banyak beza dengan sekarang. Cuma yang ketara sekali, dunia makin lama menjadi semakin kecil, semakin kompleks dan semakin dirundung komplikasi yang bukan-bukan dan yang tidak-tidak. Yang membezakan kita adalah ilmu dan pengalaman.

Orang yang ada ilmu dan pengalaman serba sedikit atau sebanyak pasti tahu perangkap psikosis dan faham pengistilahan sosiologi/sosiolinguistik mengenai apa itu sarkastik, apa itu satira, apa itu sinikal, apa itu komplot, apa itu konspirasi dan apa itu humor. Ya, lebih-lebih lagi humor. Kerana aku banyak menulis dan minat berkarya menerusi humor kerana ia mudah dicerna dan digemari. Pada aku humor adalah tingkatan intelek generik yang sesiapa pun boleh capai asalkan ada kemahuan untuk bersikap terbuka dan jujur pada diri sendiri. Sepertimana kisah karakter bernama Bak Bak dalam ‘Hikayat 1001 Malam’, aku cukup senang berbicara dan meluah dengan humor dan komedi, bukannya berselindung di sebalik kelucuan dan senyum tawa namun berilmu pengetahuan bersama-sama dengan akses komunikasi marhaenis tanpa mengabaikan eksistensialisme. Dan kadangkala juga aku besikap ekstrem sepetimana jelmaan Joker oleh Heath Ledger dalam ‘The Dark Knight’. Kata-kata sinikal dan dialog satira yang masih mantap diingatan adalah seperti: 


Introduce a little anarchy. Upset the establish order.

Nobody panics when things go “according to plan.” Even if the plan is horrifying. Do I really look like a guy with a plan? You know what I am? You know, I just, do things.

Some people are schemers. Schemers trying to control their worlds. I’m not a schemer. I try to show the schemers how pathetic their attempts to control things really are.

See, their morals, their code: it’s a bad joke. They’re dropped at the first sign of trouble. They’re only as good as the world allows them to be.

You can’t rely on anyone these days, you gotta do everything yourself, don’t we? That’s ok, I came prepared, it’s a funny world we live in.

You’ll see, I’ll show you, that when the chips are down, these civilized people, they’ll eat each other.


…dan sudah tentunya kegemaran aku: Why so serious? I’m not a monster, I was just ahead of the curve.


Bagi aku serius itu hanyalah sifat sementara. Mereka serius kerana mereka mahukan perhatian dan mahu orang ramai dengar kata mereka. Sama juga seperti orang yang kira-kira kelakar dan kuat berjenaka . Mereka juga perlukan perhatian dan mahu orang ramai dengar kata mereka. Yang seeloknya adalah bersederhana. Jangan serius sangat ketika menyampai dan jangan luncai sangat ketika bergurau-senda.

Maka, point aku di sini adalah sampaikanlah dengan apa cara sekalipun tentang kebenaran dan hak asalkan tahu apa yang hendak disampaikan dan cukup bukti dan alasan untuk menyampaikannya. Jangan hold back. Walau apa pun orang kata, kita kena berani. Semua orang kena berani. Kerana dengan keberanian, kita akan dihormati dengan cara yang tersendiri. Tambahan pula di zaman banyak orang di luar sana ‘baling batu sembunyi tangan’ ini, prinsip dan pendirian adalah segala-galanya.

Serius. Kelakar. Kita tahu kita siapa. Buktikan yang idea kita bagus, kata-kata kita dapat menyalur inspirasi pada dunia untuk maju ke hadapan. Semuanya dengan niat yang betul, akan jadi baik-baik sahaja akhirnya.


Berpeganglah pada 'moral code' ciptaan kita sendiri dengan ilmu kebaikan dan pengetahun berguna.


2.9.13

Sedia dengan semangat baru.

Berdasarkan rekod dan hitung semasa, sekarang ini jumlah rasmi kawan-kawan (friend) aku di Facebook telah melebihi 2,000 orang. Jujurnya aku sendiri tidak pasti sama ada jumlah itu adalah jumlah yang serius dan benar berbanding dengan kawan-kawan aku yang wujud secara 'offline'. Bukanlah sesuatu yang membanggakan jika hendak dibanding dengan kawan-kawan lain yang sudah pun mempunyai 3,000, 5,000, 10,000 malah 100,000 atau lebih (ini serius kerana ada di antara mereka yang memiliki fanbase dan follower yang begitu mengagumkan!)

Semua kawan-kawan (friend atau mutual friend) yang aku maksudkan itu tadi mempunyai latar belakang yang berbeza, baik dari segi profesion dan pencapaian serta juga peribadi. Namun begitu, mereka mempunyai satu persamaan ciri yang tidak dapat dinafikan lagi: Mereka adalah pengkarya yang menulis, melukis, mempersembah dan punya sebab serta motif kukuh  untuk dibuktikan kepada dunia. Bahawasanya hasil pendapat dan perkongsian pengalaman dari minda dan jiwa mereka perlu dilihat oleh orang-orang yang mahu membaca, menilai, mengulas, mengkritik dan menghargai. Sama ada secara sedar atau tidak, sifat manusia rata-ratanya memang begitu. Fitrah yang ada dari dalam atau dipengaruh dari luar. Ada yang menulis untuk meluah, ada yang melukis untuk mengekspresi. Titik pertemuannya jelas tetap sama. Manusia memerlukan manusia lain untuk memajukan diri (sengaja) atau menghancurkan diri (tidak sengaja) berpandukan kepada niat dan falsafah hidup masing-masing di dunia ini, biarpun berbeza atau sesama agama, bangsa dan negara.

Facebook menyediakan satu pentas yang cukup selesa untuk tujuan-tujuan ini. Lebih senang untuk bercakap tanpa berhadapan, lebih mudah untuk berkomunikasi tanpa berinteraksi. Itu hanya landas asasnya sahaja.

Sebagai contohnya, aku puas hati dan sangat suka akan sesuatu yang cuba disampaikan oleh kawan-kawan aku itu. Aku puji. Aku beri kata-kata perangsang. Aku ucapkan lafaz kata syabas dan tahniah. Ada pada masa-masa tertentu, aku juga tidak berkenan dan membangkang usaha yang kawan-kawan aku lakukan. Aku kritik. Aku bidas. Aku sanggah dengan bukti dan rasional sebagai langkah yang wajar dilakukan untuk seorang dalam mod memprotes. Untuk yang bukan kawan (tidak juga musuh atau bermusuhan) dan dalam bentuk yang neutral, aku melakukan perkara yang sama.

Kiranya aku minat atau benci sesebuah karya itu, kiranya aku sokong atau anti sesebuah naskah itu, kiranya aku angkat atau benamkan sesebuah hasil itu; aku tetap akan berlaku jujur dengan landas waras. Aku sebagai seorang yang ada prinsip dan falsafah dalam bidang yang sedang aku kerjakan, akan tetap bersikap profesional (walaupun kekadang terlampias kesan emosional). Sudah bertahun aku berkelana dan berjalan jauh mencari pengalaman dan ilmu. Aku meniti langkah perlahan-lahan untuk sampai ke suatu tahap yang membolehkan aku mengecap jata dan lencana yang aku perlu. Supaya suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai tatkala aku bercakap, orang akan dengar dan amati. Mana yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Kerana dari situlah nanti, di antara yang 2,000 itu akan menilai seperti mana aku menilai. Semua dengan cara dan fahaman yang tersendiri.

Jadi, untuk julung kalinya kesedaran ini hadir sendiri. Aku perlu rakamkan leluhur ini dalam penulisan. Kemuliaan dan keagungan kurnia yang diberikan datang dan pergi. Aku seorang penulis dan aku perlu menulis dengan terhormat kerana bakat itu adalah amanat. Ia datang pada kita semua dengan harga dan nilai-nilai masing. Naik susutnya harga dan nilai itu, bergantung ia pada diri sendiri.

Mulai hari ini, aku mahu menulis kembali  dengan semangat baru. Semoga usaha karya aku ini mendapat manfaat dan pedoman bersama. InsyaAllah.


Terimalah kelahiran 'The Idealistik'.


5.10.11

Hidup ini penuh isi.

Sudah sampai masanya aku meluahkan dan merungkai satu-persatu, sedikit demi sedikit biar sampai jadi bukit apa yang terbenam di dalam benak dan terlubuk di dasar hati. Kerana hidup ini sekiranya ada, mahu aku isikan dengan sebaik-baik manfaat dan seelok-elok faedah.

Biar selamat dunia, biar selamat akhirat.

18.12.10

Terbuku cerita pada hakikat

Sebagai seorang penulis, aku harus menulis. Aku harus menulis dengan rasa. Menulis dengan emosi. Menulis dengan sentimen. Menulis dengan seisi jiwa dan seluruh semangat yang terkandung nyawa, dibawa badan. Menyedari bangkitnya hakikat ini, aku harus bersikap dan bersifat jujur pada diri sendiri. Aku tidak mampu untuk membohongi pada diri sendiri dan membohongi orang-orang yang cinta dan percaya pada kemampuan aku. Pada kurnia dan anugerah yang ada pada dalam diri aku. Kuat atau lemah. Berdaya atau lumpuh. Semangat atau hilang. Hitam atau putih.

Aku yang harus memberi dan menerima seadanya.

Jadi, inilah aku yang sebenarnya. Yang benar-benar ingin menjadikan hidup ini sepenuhnya pada dasar dan tapaknya.

Izinkanlah aku bercerita tentang semua yang terbuku pada hakikat.

18.8.09

Hikayat berasal dari bahasa Arab yakni 'hikayah' yang bererti kisah, cerita ataupun dongeng. Pengertian mengenai hikayat ini bisa ditelusuri dalam tradisi sastera Arab dan Melayu lama. Dalam sastera Melayu lama, hikayat di ertikan sebagai cerita rekaan berbentuk prosa panjang berbahasa Melayu yang menceritakan tentang kehebatan dan kepahlawanan orang ternama dengan segala kesaktian, keanehan dan qaromah yang mereka miliki. Orang ternama tersebut biasanya raja, puteri-puteri raja, orang-orang suci dan sebagainya. Hikayat termasuk genre yang cukup popular di masyarakat Melayu denga jumlah cerita yang cukup banyak. Kemunculan genre ini merupakan lanjutan dari ceritera penglipurlara yang berkembang dalam tradisi lisan dalam masyarakat, kemudian diperkaya dan diperindah dengan menambah unsur-unsur asing terutama saduran unsur Hindu dan Islam. Dalam kehidupan masyarakat Melayu sehari-hari, hikayat ini berfungsi sebagai media (didaktik) dan hiburan.

Berdasarkan fase historis, hikayat dalam sastera Melayu lama boleh dibahagi TIGA iaitu : (1) hikayat berunsur Hindu, (2) hikayat berunsur Hindu-Islam, (3) Hikayat berunsur Islam.

Hikayat yang berunsur Hindu berinduk pada dua hikayat utama - Hikayat Sri Rama dan Mahabbhrata. Dari dua kisah ini, kemudian berkembang kisah atau hikayat lain seperti Hikayat Pandawa Lima dan Hikayat Sri Rama. Hikayat yang mengandungi unsur Hindu dan Islam merupakan hikayat yang berasal dari tradisi Hindu, kemudian diubahsuai dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Contohnya adalah Hikayat Jaya Lengkara, Hikayat Si Miskin, dan Hikayat Inderaputera. Sedangkan hikayat yang hanya berunsur Islam adalah hikayat yang berasal dari tradisi sastera Arab-Parsi. Contohnya Hikayat 1001 Malam, Hikayat Qamar al-Zaman dan lain-lain.

Berdasarkan isi, hikayat dapat digolongkan ke dalam tiga jenis juga iaitu jenis rekaan seperti Hikayat Malim Dewa, jenis sejarah seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Pattani, Hikayat Raja-raja Pasai dan jenis biografi seperti Hikayat Abdullah dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adam.